rectangular

Tuesday 20 August 2013

SLE ( Lupus Eritematosus Sistemik ) LUPUS

Assalamualaikum........hai pe kabar lama juga saya x letak cerita ataupn resepi kat blog saya kan.... so hr ni saya nak kongsi cerita tentang penyakit SLE atau LUPUS....
Penyakit ni memang org jarang dengar di malaysia sb tak ramai yang terkena penyakit ni tapi blh serang dalam keadaan yang tidak kita jangka... disini saya letakkan artikel untuk di kongsi bersama .artikel ini  saya amik dari sumber yang sahih iaitu kpdknkk ... hope u all dapat mengetahui dengan lebih lanjut la sb penyakit ni lebih banyak menyerang kita i mean perempuan .....



'LUPUS': Awas Bila Keletihan, Sakit Sendi Dan Ruam Kulit

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini adalah bahagian pertama tentang penyakit Lupus Eritematosus Sistemik (SLE) yang dikenali juga sebagai 'LUPUS'. Penyakit ini adalah keradangan kronik yang disebabkan sistem pertahanan badan (autoimun) yang tidak normal melawan tisu badan sendiri.

Menurut pakar kesihatan, kesedaran tentang penyakit ini masih rendah dalam kalangan masyarakat Malaysia dan jika wujud kesedaran yang lebih tinggi terhadapnya, pesakit SLE tidak akan rasa terpinggir selain dapat menerima sokongan yang mereka perlukan.

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Anak perempuan AiBee yang berumur 25 tahun, Siew Ping, merupakan seorang yang cergas dan sihat sehinggalah suatu hari beliau berasa keletihan dan lemah yang amat sangat selain hilang selera makan secara mendadak.

"Ia berlaku pada September tahun lepas bila Siew Ping mengadu rasa sakit di seluruh badan selain demam dan selsema.

"Hidungnya juga mengalir darah dan ada ruam di badan dan muka. Sendi-sendinya juga sakit dan bengkak. Dia juga mengadu sakit dada dan batuk berdarah," cerita Aibee kepada penulis di sebuah pusat perubatan di sini.

AiBee membawa anaknya ke hospital dan kemudian doktor memberitahu diagnosa anaknya menghidap SLE" (Lupus Eritematosus Sistemik) yang juga dikenali sebagai 'LUPUS'.

Menurut pakar penyakit reumatologi, satu kajian yang dijalankan pada tahun 1990 menunjukkan terdapat 43 pesakit SLE bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia. Kini dianggarkan terdapat lebih 12,000 kes SLE di negara ini.

Statistik Yayasan SLE Amerika mendedahkan di Amerika Syarikat sahaja terdapat 1.5 juta kes SLE manakala angka bagi seluruh dunia adalah 5.0 juta orang.

RASA PENAT

Pakar perubatan Dr H.Tan memberitahu bahawa ciri-ciri wujud SLE adalah berlainan antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.

"Kira-kira 80 peratus daripada pesakit SLE mengalami sakit sendi dan otot selain ruam di kulit. Mereka juga rasa lemah-lemah serta tidak sihat.

"Pada kemuncaknya, pesakit SLE akan mengalami selesema dan ini mungkin diiringi demam, keletihan dan sakit otot. Bagi wanita, simptom ini mungkin lebih teruk sebelum pusingan haid dan sebab itulah simptom itu kadangkala disalahsangka sebagai tekanan stres sebelum haid," kata beliau.

Menurut pakar itu lagi, gejala yang biasanya timbul dalam kes SLE adalah artritis (radang dan sakit sendi) di tangan, kaki dan juga lutut.

Terdapat juga keletihan dan ruam pada kulit (termasuk muka dan badan).

SISTEM IMUN

Menurut pakar-pakar perubatan, SLE adalah penyakit yang muncul dari sistem imum badan itu sendiri.

"Dalam SLE, sistem imum badan jadi tidak seimbang mengakibatkan badan memberi reaksi terhadap tisu yang sihat. Itulah sebabnya simptom SLE boleh berbeza (dari satu individu dengan individu yang lain).

"Penyakit ini juga disebabkan jenis ubat yang diambil," kata Dr Tan.

Kata beliau SLE diklasifikasikan sebagai penyakit reumatik sendi dan boleh melibatkan beberapa organ dalam badan seperti buah pinggang.

PENYEBAB SLE

Faktor-faktor yang menyebabkan SLE sebenarnya tidak diketahui walaupun ada kajian menunjukkan kemungkinan wujudnya faktor genetik.

Kata Dr Tan, SLE adalah 10 kali lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita daripada lelaki.

"SLE sukar untuk diberi diagnosis. Kadangkala pesakit LUPUS perlu merujuk beberapa orang doktor barulah penyakit ini dapat dikenalpasti.

"Simptomnya yang sama dengan penyakit lain menyebablan SLE sukar diberi diagnosis. Tiada ujian yang spesifik bagi menentukan sama ada seseorang itu menghidapi SLE.

"Ia bukan luar biasa bagi seseorang itu menghidapi SLE selama berbulan atau bertahun sebelum beliau mengetahui dirinya mempunyai diagnosis penyakit itu," kata Dr Tan.

Katanya doktor hanya dapat memberi diagnosis setelah meneliti riwayat perubatan pesakit dan dibantu analisis ujian rutin makmal serta juga beberapa ujian khas berkaitan dengan status imun pesakit.

"Terdapat 11 kriteria untuk diagnosis. Jika pesakit mempunyai empat daripada kriteria ini termasuk ujian darah, maka beliau boleh dikatakan mempunyai diagnosis positif SLE," terang beliau.

MEMBAWA MAUT

Pakar-pakar reumatologi memberitahu bahawa penyakit SLE boleh membawa maut.

Yayasan SLE Amerika menyatakan komplikasi daripada penyakit itu menyebabkan beribu-ribu pesakit mati di seluruh dunia setiap tahun.

Tetapi diagnosa awal serta pengurusan penyakit yang lebih baik telah membolehkan ramai pesakit menjalani kehidupan yang normal. Malangnya bagi ramai yang menghidapi penyakit ini mereka terpaksa menjalani kehidupan yang mengganggu kualiti hidup.

'PENAWAR' BAGI LUPUS

Pakar-pakar perubatan berkata tida 'penawar' bagi SLE untuk ketika ini.

Tetapi terdapat rawatan bagi mengawal simptom dan penyakit ini. Terapinya bergantung pada organ yang terlibat serta tahap penyakit ini.

Kata Dr Tan, pesakit yang mempunyai simptom SLE seharusnya berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

"Mereka (pesakit) perlu menerangkan keseluruhan riwayat perubatan mereka walaupun tiada gejala yang timbul ketika itu. Doktor mungkin memerlukan pesakit menjalani ujian tambahan dan merujuk pesakit kepada pakar reumatologi dan pakar dermatologi," katanya.

Maklumat yang lebih mengenai SLE boleh didapati dari www.lupus.org.

"Rehat yang lebih juga merupakan bahagian penting dalam pengurusan penyakit ini," tambah beliau.

-- BERNAMA

No comments :

Post a Comment

thanks for u`r comment